Tuesday, March 9, 2010

Hati-hati walaupun ada logo halal


Peserta PBC Nilai kali ini didedahkan tentang pemakanan yang meragukan yang terbukti di dalam majalah Milenia yang diulas oleh PJS Ustaz Safuan.


Makan dan minum adalah satu keperluan asas ke-hidupan. Islam menghendaki umatnya menitik-beratkan soal kebersihan dan kesucian dalam aspek pemakanan. Ini kerana soal pemakanan berkait rapat dengan ibadah dan kesihatan. Allah SWT amat menekankan perihal apa yang kita makan kerana ia menentukan kehalusan atau kekasaran budi dan sangat berpengaruh kepada jiwa dan sikap seseorang.

Malah halal adalah prasyarat kepada penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan menerima doa orang yang menyimpan bahan haram dalam tubuhnya termasuklah pakaian yang dipakai dan harta yang dimilikinya. Bagi setiap orang Islam, penerimaan doa oleh Allah SWT sangat penting kerana doa adalah otak kepada segala ibadah. Sekiranya "otak" itu cacat maka ibadat lain turut tercalar.



Bagi orang beriman , doa adalah satu kekuatan yang Tuhan kurniakan khususnya bagi orang yang teraniaya yang mana doanya amat makbul dan diterima Allah. Walaupun terdapat beberapa standard bagi menjamin kebajikan pengguna di Malaysia, masalah ketidakpatuhan terhadap standard ini sentiasa berlaku terutama berkaitan dengan halal tidaknya makanan dan yang paling ketara adalah penyalahgunaan dan pemalsuan logo halal di Malaysia.

Justeru, kita harus berhati-hati kerana dikhuatiri membeli atau terbeli makanan tidak halal walaupun ada dipamerkan label logo halal. Masyarakat hendaklah cermat dan berwaspada dalam menentukan kehalalan makanan itu sendiri. Sekadar mempunyai sijil halal saja belum mencukupi kerana pada ketika ini ada peniaga terutama bukan Islam gemar menipu sijil halal.

Kita tidak boleh mengharapkan penguatkuasaan semata-mata kerana perlaksanaannya sangat rumit ditambah dengan tabiat sesetengah peniaga gemar meraih keuntungan tanpa memikirkan kepentingan pengguna Islam. Apa yang jelas, kalau kita ragu-ragu atau was-was, jangan membeli produk berkenaan.

Persoalan yang timbul, mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah disebabkan sistem atau polisi yang sukar dan berbelit-belit menyebabkan perkara ini terjadi atau sikap masyarakat yang jahil tentang kepentingan penggunaan logo halal dan standard halal serta keselamatan makanan? Mungkinkah ada unsur 'suapan' dalam pemberiaan logo berkenaan?

Apa yang pasti, setiap pengguna mahukan sesuatu produk yang selamat dan tiada kemudharatan. Bagi umat Islam, garis panduan mestilah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang juga boleh diimplimentasikan dalam kehidupan setiap pengguna hari ini. Harus diingat, pemakanan yang halal, menyihatkan dan seimbang dari segi kualiti dan kuantiti mampu melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat selain cemerlang dari segi akhlak, syakhsiah, berperibadi mulia dan bertamadun mengikut acuan Islam.

Sumber : Majalah MILENIA MUSLIM keluaran Mac 2010

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails